8/30/2010

Kemedekaan

Assalamualaikum dan Salam Kemerdekaan..



Pengisytiharan

Malam Merdeka

Pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman

Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.

Upacara Pengisytiharan

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.

Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan BesarNegeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak(berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis(berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikiuti oleh pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan

Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

Tetamu kehormat

Apabila Tanah Melayu meraikan Hari Kemerdekaannya yang pertama, hotel-hotel baru didirikan di serata Kuala Lumpur untuk menampung delegasi luar yang bakal datang setelah dijemput oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut.

Barisan pertama perwakilan asing ke Tanah Melayu ialah:

Ketika mendarat di Lapangan Terbang Sungai Besi, tetamu kehormat telah disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald Charles MacGillivray dan Lady MacGillivray, Yang di-Pertuan Agong Tanah Melayu yang pertama, Tuanku Abdul Rahman diiringi Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, Tunku Abdul Rahman.

Kandungan Pemasyhuran Kemerdekaan

Bukti bertulis mengenai Pengisytiharan (Pemasyhuran) Kemerdekaan

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 telah ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu yang ditulis Jawi dan bahasa Inggeris.

Versi Rumi

Pemasyhuran kemerdekaan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.

Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.

Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang,Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka danPulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala peranjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.

Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.

Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.

Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.

Versi Jawi

ڤماشهورن كمرديكأن

دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مڠاسيهاني، سڬالا ڤوجي باڬي الله يڠ مها بركواس دان صلوات دان سلام ك اتس سكالين رسول-ڽ.

بهاواسڽ كران تله تيباله ماسڽ باڬي اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو اين منچاڤأي تارف سواتو بڠسا يڠ مرديك لاڬي بردولت سام ستيمڤل كدودوكنڽ دڠن سڬالا بڠسا سلوروه دنيا.

دان بهاواسڽ كران دڠن ڤرجنجين يڠ دسبوت نامڽ ڤرجنجين تانه ملايو تاهون 1957 يڠ دڤربوات انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، مك، تله دڤرستوجوي بهاوا نڬري-نڬري ملايو، ايايت جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، دان ڤراق سرتا نڬري يڠ دهولوڽ ديناماكن نڬري سلت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، مولاي 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957، هندقله منجادي سبواه ڤرسكوتوان بهارو باڬي نڬري-نڬري يڠ برنام ڤرسكوتوان تانه ملايو.

دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق دالم ڤرجنجين ترسبوت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ هندقله درڤد تاريخ ترسبوت ايت تمت درڤد منجادي سباهاڬين درڤد ججاهن تعلوق بڬيندا قوين، دان دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين تيدق لاڬي برحق منجالنكن اڤا٢ كدولتن بڬيندا ك اتس كدوا-دوا بواه نڬري يڠ ترسبوت ايت.

دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق يڠ ترسبوت، ايايت ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1948، دان سڬالا ڤرانجين يڠ لاين يڠ اد سكارڠ انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج اتاوڤون ساله سأورڠ درڤد بڬيندا ايت سبلوم تاريخ يڠ ترسبوت هندقله دبطلكن مولاي درڤد تاريخ ايت، دان سموا كوات كواس دان حق دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين اتاوڤون ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دالم نڬري-نڬري سلت اتاوڤون ڤرسكوتوان تانه ملايو سلوروهنڽ اداله تمت دڠن سنديريڽ.

دان بهاواسڽ كران دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين، دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دان مجليس-مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان دان نڬري-نڬري ملايو تله ملولوسكنڽ، ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1957 ايت برجالن كوات كواساڽ.

دان بهاواسڽ كران سواتو ڤرلمباڬان باڬي كراجأن ڤرسكوتوان تانه ملايو تله دتنتوكن منجادي سواتو كانون يڠ معتمد باڬيڽ.

دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت، مك، اد دسدياكن شرط اونتوق منجاڬ كسلامتن حق-حق دان كاوتامأن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج سرتا حق-حق اساسي دان كبيبسن سكالين رعيت دان اونتوق مماجوكن ڤرسكوتوان تانه ملايو دڠن امان دان داماي سرتا تراتور سباڬاي سبواه كراجأن يڠ ممڤوڽاءي راج يڠ برڤرلمباڬان يڠ برداسركن ديموكراسي چارا ڤرليمين.

دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ داداكن اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت تله دلولوسكن اوليه سواتو اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكه اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان سرتا دڠن اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكن اوليه نڬري-نڬري ملايو دان دڠن كتتڤن-كتتڤن دالم مجليس اوندڠن نڬري ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، دڠن دمكين ڤرلمباڬان ايت تله برجالن كوات كواساڽ ڤد 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957.

مك، دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مها مڠاسيهاني، ساي تونكو عبدالرحمن ڤوترا ابن المرحوم سلطان عبدالحميد حاليم شه، ڤردان منتري باڬي ڤرسكوتوان تانه ملايو، دڠن ڤرستوجوان دان ڤركنن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج نڬري-نڬري ملايو دڠن اين ممشهوركن دان مڠيشتهاركن باڬي ڤيهق اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو بهاوا مولاي تيڬ ڤولوه ساتو هاري بولن اوڬوس تاهون سريبو سمبيلن راتوس ليما ڤولوه توجوه، مك ڤرسكوتوان تانه ملايو يڠ مڠاندوڠي نڬري جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، ڤراق، ملاك دان ڤولاو ڤينڠ دڠن ليمڤه رحمة الله سبحانه وا تاءالا اكن ككال منجادي سبواه نڬارا يڠ مرديك دان بردولت سرتا برداسركن كبيبسن دان كعاديلن دان سنتياس منجاڬ دان مڠوتاماكن كسجهترأن دان كسنتوسان رعيتڽ دان مڠكلكن كامانن انتارا سڬالا بڠسا.

No comments: