8/10/2009

Guru oh guru..


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera..


Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, serta para sahabat dan pengikutnya. Bersempena dengan bulan Syaaban yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke Hadhrat Ilahi kerana dengan limpah dan InayahNya kita masih lagi diberikan Ni'mat yang paling besar iaitu HIDUP. Di kesempatan ini juga dipanjatkan rasa bertuah kerana blog ini telah berjaya dibangunkan bagi tujuan bertukar-tukar pandangan terutamanya di kalangan guru-guru khas.


Kelas Pendidikan Bermasalah Pembelajaran merupakan satu institusi rasmi bagi pelajar-pelajar dengan keperluan khas berserta dengan kepelbagaian "diversity" serta pelbagai kategori masalah pembelajaran. Dengan keadaan tersebutlah maka satu sistem dan kurikulum pendidikan khas dibentuk untuk memenuhi keperluan tersebut. Namun begitu kadang-kala aspek yang terpenting sering diabaikan oleh pihak yang berwajib tentang keperluan tersebut.


Bagi Kelas Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran SMK Meranti merupakan satu program baru bertunas iaitu belum berusia setahun jagung. Namun begitu aspek usia bukan penentu kecemerlangan program tersebut. Oleh yang demikian bagi mencapai kecemerlangan serta kelancaran sesuatu program, aspek fizikal sekolah/program perlu dititikberatkan antarnya ialah keperluan setting kelas yang kondusif untuk pelajar khas. Selain itu aspek guru merupakan sumber yang terpenting dalam menjayakan sesuatu program integrasi pendidikan khas. Sebagaimana sedia maklum keperluan guru khas bergantung kepada jumlah bilangan murid di sesuatu program, sebagai contoh nisbah keperluan guru dikira sebagai 6.5 pelajar untuk 1 kelas dan didarab 1.5 guru (6.5 pel = 1 kls x 1.5 guru).


Di dalam kes SMK Meranti jumlah pelajar telah mencecah 20 orang pelajar. Dengan jumlah pelajar tersebut, perlu diadakan sekurang-kurangnya 3-4 kelas bergantung kepada keperluan khas pelajar (pelajar hyper, MR severe). Dengan terbentuknya 4 kelas (purata 5 orang pelajar dalam satu kelas) maka peruntukan guru yang layak adalah seramai 4 x 1.5 = 6 orang guru. Tapi hakikatnya SMK Meranti hanyalah terdapat 2 orang guru yang bertungklus lumus mengawal, menyelia, mentadbir, mengurus serta menjalankan segala aktiviti yang dirancang sepanjang semester pengajian 2009.


Jika perkara ini dibangkitkan di peringkat atasan samada di peringkat Unit Khas, Sektor Pengurusan Swasta dan Pendidikan Khas. Jawapan yang diberikan menjanjikan seribu kemanisan, namun pahit yang terpaksa ditelan. Di UPK, kita amat memahami beban tugas yang terpaksa dipikul namun begitu bukan itu yang kita ingin pertikaikan. Keutamaan kepada keperluan guru amat-amat perlu dititikberatkan, bukan setakat fizikal bilik darjah sahaja yang ketinggalan, namun untuk melihat program Integrasi Khas di Kelantan ini berjalan seiring dengan program di negeri lain, maka keperluan guru kepada sekolah-sekolah yang amat memerlukan sepatutnya didahulukan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.


Salam Ikhlas..


10 Ogos 2009

No comments: